Perkara yang perlu anda tahu mengenai Perjanjian Penyewaan Rumah

Perkara yang perlu anda tahu mengenai Perjanjian Penyewaan Rumah

  •  Perjanjian penyewaan ini perlu senang difahami oleh kedua-dua belah pihak. Walaubagaimanapun, pihak pemilik hartanah dan penyewa perlu memahami isi kandungan perjanjian tersebut dengan terperinci supaya hak masing-masing dapat dijelaskan jika berlaku perselisihan faham (dispute) pada masa depan. Perjanjian ini juga boleh disediakan oleh pihak ketiga iaitu peguam atau agen hartanah namun persetujuan haruslah dicapai oleh pemilik hartanah dan bakal penyewa sebelum ditandatangani. Pemilik Hartanah juga boleh menyediakan sendiri perjanjian ini berdasarkan sampel Perjanjian Penyewaan yang sah dan adil bagi kedua-dua belah pihak.
  •  Perjanjian Penyewaan ini perlu menyatakan sewa bulanan yang perlu dibayar oleh penyewa. Bayaran untuk sewa bulanan akan ditetapkan pada tarikh tertentu (contoh 1hb bagi setiap bulan) untuk memudahkan tuan rumah memantau kelewatan pembayaran. Akaun untuk pembayaran juga dinyatakan dalam Perjanjian Penyewaan untuk rujukan dan memudahkan kedua-dua pihak.
  •  Selain itu, deposit untuk menyewa rumah juga (biasanya, bayaran sewa untuk 2 bulan dan utiliti) akan dinyatakan untuk menjaga hak tuan rumah sekiranya penyewa‘melarikan diri’ atau merosakkan harta benda di dalam rumah terbabit. Wang deposit ini akan dipulangkan kembali kepada penyewa apabila tempoh penyewaan sudah berakhir dan rumah ini ditinggalkan dalam keadaan baik dan terjaga.
  •  Senarai inventori barangan perlu dinyatakan dengan jelas di dalam Perjanjian Penyewaan ini sebagai lampiran. Dimana senarai itu seperti kipas, lampu, sofa, peti ais, katil dan televisyen akan disenarai dan disemak oleh kedua-dua belah pihak. Jika berlaku kerosakan kepada barang-barang terbabit (dalam kes ini, penyewa yang merosakkan secara sengaja), tuan rumah berhak meminta ganti rugi atau boleh ditolak pada deposit penyewa tetapi perlu dinyatakan semasa Perjanjian Penyewaan dibuat. Walaubagaimanapun, terpulang kepada budi bicara tuan rumah kerana mungkin barang-barang itu sudah lama digunakan dan kerosakan tidak dapat dielakkan.
  •  Pembaikpulih bagi kerosakan di dalam rumah perlu dinyatakan juga dengan jelas dalam Perjanjian Penyewaan. Biasanya, kerosakan kecil (minor damage) akan dibayar terlebih dahulu oleh penyewa kemudian diberitahu kepada tuan rumah untuk pengurangan bayaran sewa pada bulan itu. Bagi kerosakan besar (major damage), tuan rumah perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti meminta kontraktor untuk membaik pulih kerosakan terbabit secepat mungkin. Contoh kerosakan kecil ialah pili air tersumbat dan kerosakan besar mungkin tangki bocor atau tile pecah yang boleh membahayakan penyewa sepanjang penyewaan di rumah itu.
  •  Perkara yang amat penting di dalam Perjanjian Penyewaan ini adalah persetujuan dan ditandatangani kedua-dua pihak. Dimana ‘stamping’ perlu dibuat di Jabatan Hasil Dalam Negara (LHDN) supaya dokumen ini dikira sah disisi undang-undang. Jika tidak, sebarang masalah yang berlaku tidak dapat diselesaikan di mahkamah dan seterusnya boleh mengakibatkan ketidakadilan kepada penyewa ataupun tuan rumah.. Bayaran untuk ‘stamping’ biasanya dikenakan kepada penyewa. Bagi tuan rumah, dokumen ini boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan (extra income) jika ingin memohon pinjaman daripada bank bagi merendahkan tanggungan tuan rumah dengan bayaran bulanan bank.

Oleh yang demikian, pemilik hartanah dan penyewa perlu mengetahui hak masing-masing dan perkara ini perlu dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Penyewaan tersebut. Ketiadaan Perjanjian Penyewaan ini mungkin akan menjadi kesilapan besar kepada pemilik hartanah dan penyewa rumah terbabit jika berlakunya sesuatu masalah.

Bagi pelabur hartanah pula, Perjanjian Penyewaan ini sangat penting dan dipandang serius kerana Perjanjian Penyewaan ini boleh memberi jaminan kepada hartanah yang disewakan itu memberi pulangan yang positif atau negatif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge